Pengalaman belajar memandu dengan mak cik yang tak reti bawa kereta!

Aku pernah dengar orang kata,

“Aku takkan dengar nasihat perniagaan dari orang yang tak berniaga.”

Dulu aku pun berpendapat seperti itu, yelah kalau ikut logik akal mana mungkin seorang yang tak berniaga layak bagi nasihat kepada peniaga.

Tapi betul ke macam tu? Boleh jadi betul pada satu sudut, tapi mungkin juga tidak pada sudut yang lain.

Suatu hari aku sedang memandu pulang dari kampung. Di sebelah aku ada seorang mak cik yang sentiasa memerhatikan gaya pemanduan aku. Waktu tu aku baru belajar memandu, nak kata mahir sangat tak juga, biasa sajalah.

Semasa selekoh tajam di highway pemanduan aku kurang lancar. Aku tak dapat seimbangkan antara kelajuan dan kawalan stering. Sekejap aku bawa sekejap laju, sekejap perlahan, sekejap ke tepi, sekejap ke tengah. Tidaklah ketara sangat, tapi siapa yang duduk sebelah aku boleh perasan. Namun begitu ia hanya berlaku semasa di selekoh sahaja.

Makcik aku tegur,

“Awat hang bawa kereta lagu tu?”

Makcik aku mula mengomel, sedangkan bawa kereta pun dia tak reti.

“Hang buat macam ni Syid. Masa hang tengah ambil selekoh, hang tengok betui-betui line putih tu (Line pembahagi jalan). Hang pastikan jarak kereta dengan line putih tu sentiasa sama, jadikan line putih tu sebagai guide. Hang fokus kekalkan jarak kereta dengan line putih, InsyaAllah pemanduan hang lagi stabil nanti, takdaklah sekejap ke kiri, sekjap ke kanan..”

Makcik aku nasihat dengan bersungguh-sungguh, siap dengan gaya tangan lagi. Sebagai tanda hormat aku dengar dan aku angguk-anggukkan kepala tanda setuju.

Aku terfikir, perlu ke aku ikut cakap makcik aku ni? Dia bawa kereta pun tak reti.

Tapi bila fikir balik, kita boleh dapat ilmu melalui sesiapa saja, asalkan kita berlapang dada dan berfikiran positif. Jangan sampai sifat ego ( klik) menghalang kita untuk mengambil ilmu dari orang lain.



Lepas tu aku cuba ikut cakap makcik aku. Masa selekoh aku fokus kepada garisan putih dan jadikan ia sebagai panduan. Aku cuba stabilkan jarak kereta dengan line putih sepanjang pemanduan selekoh. Aku cuba seimbangkan kelajuan dan kawalan stering supaya kereta sentiasa dalam keadaan stabil.

Lepas aku apply, Alhamdulillah.. pemanduan aku jadi lancar! Wah, seronoknya aku!

Sebelum ni memang aku tak mahir dengan selekoh tajam. Aku terfikir juga, bagaimana cara untuk stabilkan pemanduan semasa selekoh?

Rupanya Allah jawab soalan aku melalui makcik yang tak tahu memandu pun. Sejak hari tu selekoh tajam adalah antara feberet aku semasa memandu di highway. Aku boleh ambil selekoh dengan laju dan lancar berbanding banyak pemandu lain, hasil formula dari seorang makcik yang tak pernah sekalipun memandu.

Peristiwa ni dah lama, tapi masih tersemat kemas dalam hati aku.

Walaupun ilmu ini nampak macam sedikit, tapi impaknya besar. Pertama aku boleh memandu dengan lebih baik. Kedua aku menjadi lebih positif dan berlapang dada dalam bab menerima ilmu.

Sekiranya pada waktu itu aku hadkan penerimaan nasihat hanya dari orang yang mahir memandu, mungkin sampai sekarang aku masih tak mahir memandu di selekoh tajam dengan baik di lebuh raya.

Kita boleh belajar dengan sesiapa saja yang kita mahu. Saya tak nafikan setiap dari kita berhak untuk memilih guru, bahkan memilih guru itu sangat penting kerana ia akan mencorakkan cara kita berfikir dan sekaligus memberi impak kepada kehidupan kita.

Namun begitu jangan kita bersifat sempit sehingga tak boleh mendengar pendapat, nasihat dan kritikan membina dari orang lain. Jangan sampai sifat ego menghalang kita untuk menilai dan berfikir.

Sejauh mana kita bersikap terbuka, sejauh itulah pintu ilmu akan terbuka untuk kita. Tetapi janganlah pula bersikap terbuka dengan ilmu sesat dan menyalahi syariat.

Dan last sekali, kalau korang nak tahu, aku bukanlah seorang penulis yang baik. Banyak penulisan aku yang ke laut, bosan, sangat padat dan panjang meleret.

Tapi aku bertuah sebab ada seorang kawan yang pandai menilai penulisan, walau dia sendiri pun sebenarnya tak pandai mengarang ayat. Alhamdulillah.. Terima kasih atas kurniaanMu ya Allah.

==

Sedikit pesanan aku:

Apabila ada orang yang memberi pandangan atau nasihat, berlapang dadalah untuk mendengarnya. Walau mungkin kita tak ambil ilmunya, tetapi mungkin ada pengajaran yang kita boleh ambil daripadanya.


>> List artikel blog: Formula hidup tenang, walau selalu dihimpit masalah!  <<


====

Anda digalakkan untuk kongsi artikel ini dengan rakan-rakan dan famili. Ia akan menjadi ladang pahala buat anda. Selagi ilmu ini diamal oleh orang yang menerimanya dari anda, selagi itulah pahala terus mengalir ke akaun anda tanpa putus.

Terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog ini. Sebagai tanda penghargaan saya ingin berikan anda hadiah video senaman & urutan yang anda boleh aplikasikan di rumah. Mudah-mudahan bermanfaat. 

Klik gambar di bawah untuk tuntut hadiah ini!




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

2 sifat yang mampu mengubah kehidupan!

Impian yang membunuh ketenangan

Formula hidup tenang, walau selalu dihimpit masalah!