Buang sekatan ini! Hidup anda akan jadi JAUH LEBIH BAIK!

Dulu aku seorang yang panas baran, tak suka ditegur dan dikritik. Apabila ditegur aku anggap segala teguran itu hanya kerana mereka tak suka, berhasad dengki dan tak faham apa yang aku buat.

“Kau buat hal kau, aku buat hal aku. Tak payah nak sibuk dengan apa yang aku buat!”

Sekalipun kata-kata itu tak keluar dari mulut, tapi itulah bisikan kecil yang keluar dari hati aku.

Kadangkala apabila orang tegur suatu perbuatan, aku tersedar, rupanya apa yang aku buat adalah salah. Tapi sifat ego menghalang aku untuk tunduk dan memperbetulkan keadaan. Perbuatan salah tetap diteruskan hanya kerana sifat ego yang menguasai diri.

Itulah manusia. Manusia akan menjadi bodoh apabila dirinya telah dikuasai oleh nafsu. Tak nak mengaku kelemahan diri, bahkan selalu berlaku sombong dan menyalahkan orang lain


Apakah maksud sombong?

Berdasarkan hadis Muslim, sombong itu bukanlah suka memakai pakaian yang indah, tetapi sombong itu ialah menolak kebenaran dan memandang rendah kepada manusia.

Maksud hadis:

"Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi dari sifat sombong" 

Seorang lelaki bertanya,

"Apabila seseorang menyukai pakaian dan kasut yang cantik? (Apakah termasuk di dalam kesombongan?)

Baginda menjawab,

"Sesungguhnya Allah itu cantik dan menyukai yang cantik, kesombongan itu ialah menolak kebenaran dan memandang rendah manusia

(HR Muslim)


Iblis dilaknat bukan kerana dia tidak tahu kebenaran. Tetapi kerana dia ingkar, sekalipun kebenaran itu telah jelas di depan matanya.

Suatu hari aku terdengar seorang mak cik menegur anaknya,

“Kalau ada orang yang beri nasihat, kau jangan marahkan dia. Belajar mendengar dan fikirkan kebaikan yang kau boleh ambil. Sebab kadang-kadang apa yang dikata orang itu betul. Kalau kau tak boleh terima pada waktu tu tak mengapa, cuma jangan abaikan. Ambil dan fikirkannya di rumah. Dengan cara tu kau akan jadi orang yang lebih baik nanti..”

Walaupun mak cik tu bercakap dengan anaknya, namun kata-kata itu telah memberikan bekas kepada hati aku.

Sebenarnya berbekalkan sifat ego dan sombong hidup aku selalu terasa sangat sempit dan tertekan. Hubungan dengan orang terdekat juga sering bermasalah hanya kerana sifat ‘merasa diri betul’ yang telah bersemadi dalam diri aku.

Bukan senang nak buang sifat ego, rasanya seperti ingin memotong sebahagian daging yang telah bersemadi di dalam diri.


Perlahan-lahan aku berhijrah. Aku banyakkan beristighfar dan bertaubat. Aku banyakkan bersabar dan mendengar, walau terasa amat berat untuk aku lakukan.

Kadangkala bila ditegur hati terasa panas dan mulut terasa ringan untuk mengeluarkan kata-kata pedas. Kalau aku marah beerti aku mengikut hawa nafsu. Tetapi jika aku bersabar, kebaikannya akan kembali kepada aku juga.

Hakikatnya Allah sedang menguji dan Allah ingin lihat bagaimana cara aku respon terhadap ujian itu.

Setakat ini banyak perkara yang aku belajar dan masih banyak yang perlu aku perbaiki.

Jujur aku katakan, dengan sedikit perubahan ini aku rasa sangat gembira. Perlahan-lahan hidup aku berubah menjadi lebih baik. Hubungan dengan orang terdekat juga jadi lebih akrab dan terasa lebih mudah dalam perbincangan.

Selain tu aku dapat rasa kejayaan dan matlamat lebih mudah untuk dicapai, jalan yang aku lalui tak sesukar dulu. 

Apa yang aku nampak, apabila sifat ego menebal banyak keputusan dan perbincangan sukar untuk dilakukan. Tak kira sama ada dalam bisnes mahupun kehidupan peribadi. Pendek kata ia akan mempengaruhi seluruh aspek kehidupan, termasuk kehidupan berumah tangga.

Aku rasa malu dengan diri aku yang dulu. Tergambar banyak kebodohan-kebodohan lalu yang tidak sepatutnya aku lakukan.

Kadangkala air mata bergenang mengenangkan diri aku yang sangat naif di waktu itu. Semoga Allah memaafkan aku dan terima aku sebagai hamba yang selalu kembali kepadaNya.

NOTA:

Lazimnya tiada orang yang suka ditegur dan dinasihati, tapi disini aku nak berpesan beberapa perkara yang aku rasa penting untuk aku sampaikan :

1) Jangan lakukan kebiasaan yang lazim orang buat, iaitu tidak suka menerima teguran. Kerana kebanyakan manusia itu mundur dan cenderung mengikut hawa nafsu.

2) Belajarlah merendah diri dan menerima teguran, nescaya kau akan menjadi orang yang lebih baik dalam tempoh yang singkat.

3) Jangan marah atas teguran yang kau terima, sebab dengan itu kau dapat mencermin diri sendiri dan memperbaiki ke arah yang lebih baik.

4) Jangan merasa diri sempurna, sebab memang manusia itu sering melakukan kesilapan. Sebaik-baik orang bersalah itu ialah orang yang sentiasa perbaiki kesalahannya."Setiap anak Adam pasti melakukan kesalahan, sedangkan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat." (HR Tirmizi- Dinilai hasan oleh Al Bani) : Sumber

5) Orang yang selalu perbaiki diri akan dekat dengan Allah. Lebih dekat dengan Allah, lebih banyak urusan kita Allah permudahkan.

Berhati-hatilah dengan sifat sombong dan ego, kerana sifat itu akan menjatuhkan kita ke lembah kehinaan yang paling dalam.

“Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sifat sombong meskipun sebesar biji sawi…” (HR Muslim)


>> List artikel blog: Formula hidup tenang, walau selalu dihimpit masalah!  <<


====

Anda digalakkan untuk kongsi artikel ini dengan rakan-rakan dan famili. Ia akan menjadi ladang pahala buat anda. Selagi ilmu ini diamal oleh orang yang menerimanya dari anda, selagi itulah pahala terus mengalir ke akaun anda tanpa putus.

Terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog ini. Sebagai tanda penghargaan saya ingin berikan anda hadiah video senaman & urutan yang anda boleh aplikasikan di rumah. Mudah-mudahan bermanfaat. 

Klik gambar di bawah untuk tuntut hadiah ini!




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

2 sifat yang mampu mengubah kehidupan!

Impian yang membunuh ketenangan

Formula hidup tenang, walau selalu dihimpit masalah!