Impian yang membunuh ketenangan
KUFUR TANPA SEDAR
Antara masalah terbesar aku dulu ialah aku ingin hidup yang bebas dari masalah dan sentiasa gembira sepanjang masa.
Tanpa aku sedar keinginan itu telah membuatkan hidup aku sentiasa dalam tekanan, kerana impian itu tak pernah muncul dan seperti mustahil untuk aku capai.
Rupanya aku tersilap, aku mengimpikan sesuatu yang mustahil kerana tertipu dengan pandangan mata dan kejahilan diri.
Kerana aku sering melihat kemewahan, kegembiraan dan kesenangan orang lain dan membandingkan dengan hidup aku, yang aku rasakan serba kekurangan.
Tanpa sedar aku telah terjerumus ke dalam golongan orang-orang yang kufur nikmat. Tak perasan dengan nikmat-nikmat yang ada, tetapi sibuk melihat kelebihan-kelebihan yang ada dalam hidup orang lain.
Benarlah kata Allah,
"... kebanyakan manusia itu tidak bersyukur" (Surah Yusuf : 38)
“Sangat sedikit sekali di antara hamba-Ku yang mahu bersyukur.” (Surah Saba’: 13).
MANUSIA DICIPTAKAN SENTIASA DALAM KEADAAN SUSAH
Suatu hari aku mendengar seorang ustaz bersyarah dengan ayat Quran yang berbunyi:
“Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia itu berada dalam keadaan susah” (QS Al Balad: 4)
Macam-macam persoalan yang bermain di fikiran aku.
“Apakah maksud ayat itu?”
“Benarkah Allah memang jadikan manusia itu sentiasa hidup dengan kesusahan?”
“Apakah tafsiran yang sebenarnya?”
Apabila dengar ayat itu, aku tak anggap Allah zalim atau sebarang persepsi negatif, tetapi aku berusaha memahami ayat itu dengan baik. Iaitu apakah sebenarnya yang telah Allah aturkan, dan apakah hikmah disebalik ketentuan itu.
Setelah mendengar dan memahami syarahan itu aku berasa sangat tenang. Aku telah temui jawapan yang selama ini aku cari.
Aku tenang dan redha dengan segala kesusahan yang datang, kerana kesusahan itu sememangnya telah ditentukan untuk manusia.
==
Apabila manusia berada dalam kesusahan, kesedihan dan kesakitan, ketika itu manusia akan mudah ingat kepada Allah. Tetapi malangnya apabila Allah telah angkat kesusahan itu maka sebahagian manusia kembali berpaling. Seperti firman Allah:
"Maka apabila mereka naik kapal mereka mendoa kepada Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya; maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai ke darat, tiba-tiba mereka (kembali) mempersekutukan (Allah)" (Al-'Ankabut: 65) sumber
Ramai dikalangan kita inginkan kekayaan dan kesenangan. Tetapi ramai yang kalah dalam menerima nikmat itu.
"... Sesungguhnya manusia itu benar-benar melampaui batas. Apabila melihat dirinya serba cukup. (Al-'Alaq: 5 & 6)
Setiap dari kita inginkan kesenangan dan kekayaan. Tiada masalah untuk kita berusaha mencapainya. Selagi niat kita benar, selagi itu ada ganjaran pahala untuk kita.
Tetapi apa juga keputusan yang Allah berikan setelah itu, sama ada untung atau rugi, tercapai hajat atau tidak, berlapang dada dan redhalah kepada Allah. Kerana setiap yang Allah tentukan itu adalah yang terbaik untuk kita, walaupun kita tidak menyukainya.
"...kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)." (QS An-Nisa:19).
==
KISAH WANITA YANG REDHA
Untuk menjelaskan ayat tersebut, ustaz bercerita:
Suatu hari seorang lelaki datang kepada Imam Ahmad dan bertanya, “Allah telah berfirman bahawa manusia itu sentiasa hidup dalam keadaan susah, oleh itu bilakah masanya manusia akan terlepas dari kesusahan?”
Jawab Imam Ahmad: “Apabila manusia itu masuk ke dalam syurga”
Dalam kisah yang lain:
Pada suatu hari, seorang wanita telah mengetahui bahawa suaminya telah berkahwin dua. Dia berasa sangat marah seperti ingin meminta cerai.
Pada waktu solat Isyak dia telah pergi bersolat di masjid dan mendengar imam membacakan ayat Quran tersebut (QS Al-Balad: 4).
Ayat itu telah membuatkan dirinya tersedar. Kemudian dirinya telah menjadi pasrah dan redha dengan ujian itu.
Ia berfikir, kesusahan itu sememangnya telah ditakdirkan untuk setiap manusia, tiada siapa yang dapat berlepas diri daripadanya.
Jika dia meminta cerai dia akan menjadi janda dan hidupnya akan keseorangan tanpa suami disisi. Tiada tempat mengadu, tiada pelindung, tiada tempat berkhidmat dan tiada teman bercerita seperti sebelum ini. Malah dia perlu mencari nafkah sendiri untuk menampung kehidupannya.
Jika dia menjadi isteri kedua, dia juga perlu bersabar. Tapi sekurang-kurangnya dia masih mempunyai suami yang menjadi pelindung dan pemberi nafkah untuk dirinya.
Oleh itu dia memilih untuk kembali kepada suaminya dan bersabar menjadi isteri yang kedua. Dia menerima perkara tersebut dengan redha dan menganggap itu adalah ujian dan takdir yang Allah telah tentukan untuk dirinya.
KESIMPULANNYA:
1) Jangan cemburu dengan kesenangan hidup orang lain, kerana kesusahan itu bukan hanya menimpa kita, bahkan ia hadir sebagai ujian yang menimpa setiap orang.
2) Pilihlah masukan yang membina dan menguatkan hati, bukan yang melemahkan. Kerana segala apa yang kita lihat dan dengar, akan mempengaruhi keadaan hati.
3) Hiduplah dengan hati yang redha. Kerana hanya hati yang redha sahaja dapat merasai ketenangan dalam kehidupan.
>> List artikel blog: Formula hidup tenang, walau selalu dihimpit masalah! <<
====
Anda digalakkan untuk kongsi artikel ini dengan rakan-rakan dan famili. Ia akan menjadi ladang pahala buat anda. Selagi ilmu ini diamal oleh orang yang menerimanya dari anda, selagi itulah pahala terus mengalir ke akaun anda tanpa putus.
Terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog ini. Sebagai tanda penghargaan saya ingin berikan anda hadiah video senaman & urutan yang anda boleh aplikasikan di rumah. Mudah-mudahan bermanfaat.
Klik gambar di bawah untuk tuntut hadiah ini!




Ulasan
Catat Ulasan