Formula hidup tenang, walau selalu dihimpit masalah!
Suatu masa dulu aku sentiasa dalam keadaan stress. Hampir setiap hari dada aku berdebar-debar kerana risau tentang pelbagai perkara. Keadaan ini berlangsung selama bertahun-tahun lamanya.
“Kenapa jadi macam ni? Apa lagi silap yang belum aku betulkan?”
Aku adalah orang yang sentiasa perbaiki diri, jika aku rasa ada buat suatu kesilapan aku akan cepat perbaiki. Sebab aku tahu Allah sentiasa memerhati.
Jika kebaikan yang aku buat, baiklah yang datang. Jika keburukan yang aku buat, buruklah yang datang.
Walaupun begitu aku tetap manusia biasa. Aku tak sempurna dan banyak lakukan kesilapan.
Suatu ketika aku ambil sedikit masa untuk berfikir dan merenung ke dalam diri aku.
“Kenapa stress aku tak berkesudahan? Ada sesuatu yang perlu aku betulkan. Ada yang tak kena dengan diri aku..”
Sehinggalah suatu hari aku bertemu dengan seseorang. Aku rasa mungkin dia boleh bantu aku. Wajahnya selalu tersenyum dan ceria, rasa senang mendengar butiran percakapannya.
Dia adalah seorang guru kehidupan. Selalu mengajar orang untuk kembali kepada Allah dalam setiap urusan yang dilakukan.
“Mungkin dia boleh membantu aku” Hati aku berkata begitu.
Suatu hari aku ambil keputusan untuk ceritakan masalah aku kepada guru itu.
Aku nak dengar pendapatnya tentang masalah aku, dan aku inginkan masukan ilmu yang dapat mengubah diri aku. Aku inginkan hidup yang lebih baik.
“Puan, kenapa saya selalu stress? Setiap masa dan keadaan saya stress dan dada saya sentiasa berdebar-debar. Saya sentiasa dalam keadaan risau memikirkan masalah-masalah yang akan datang selepas ini. Mengapa saya jadi seperti itu? Sedangkan saya bersolat dan setiap hari saya membaca Al Quran?”
Puan A mendengar kata-kata aku dengan tenang. Sekatika kemudian beliau mula bersuara.
“Sebenarnya awak kurang pergantungan dengan Allah. Kurang berserah kepadaNya. Awak rasa awaklah yang buat semua perkara dan selesaikan semua masalah. Itulah yang membuatkan awak sentiasa resah dan gelisah pada setiap masa..”
Puan A sambung lagi,
“Adakah awak yakin dengan Allah?”
“Ya, saya yakin”
“Kalau yakin kenapa nak risau? Kan Allah boleh bantu pada setiap urusan dan masalah awak? Adakah Allah itu belum cukup?”
Aku seperti tersedar dari lamunan.
“Serahkan semua urusan dan masalah kepada Allah. Bila dah serahkan, yakinlah Allah akan bantu. Lalui sahaja hidup ini dengan tenang.. “
Aku termenung mendengar kata-katanya. Walaupun aku ingin menafikannya, tetapi aku harus berlaku jujur pada diriku sendiri.
Benar sekali. Aku rasa aku yang buat semua perkara dan selesaikan semua masalah. Walau mulut aku sebut ‘serah kepada Allah’, tetapi ia hanyalah sekadar sebutan, tidak sampai ke dalam hati. Belum penyerahan yang sebenarnya.
Puan A menyambung bicaranya,
“Kalau awak kata sudah berserah sedangkan awak masih risau pada setiap masa, maka sebenarnya awak belum serahkan sepenuhnya kepada Allah. Dalam hati awak masih merasai awak yang selesaikan semuanya.”
Puan A seolah-olah dapat membaca fikiran aku. Kata-katanya tepat menusuk ke dalam kalbu yang jarang disentuh orang.
Bagaimana penyerahan yang saya perlu buat? Aku minta penjelasan yang lebih detail. Mudah-mudahan saranannya dapat memperbaiki cara aku berfikir dan bertindak selepas ini.
“Baiklah, saya kongsikan apa yang saya buat setiap hari sebagai penyerahan kepadaNya sehingga menyebabkan saya sentiasa tenang dalam menjalani kehidupan”
Puan A kongsikan secara peribadi tentang amalannya. Bagaimana dia menyerahkan semua urusannya kepada Allah.
“Setiap malam saya akan bangun bersolat tahajjud. Selepas solat tahajjud saya akan bermunajat kepadaNya. Saya menadah tangan memohon bantuan atas segala urusan.
Waktu tahajjud adalah waktu emas bagi saya. Saya akan himpunkan kesemua masalah, kerisauan, kebimbangan, hajat yang ingin di capai dan kesemuanya kepada Allah pada waktu itu.
Saya tahu, jika Allah tidak membantu segala urusan akan menjadi berat, hanya Allah yang boleh bantu. Saya akan bermunajat dan bercerita kepada Allah seperti seorang budak kecil yang merayu ibunya.
begitu juga jika ada orang yang memusuhi, saya serahkan musuh saya kepada Allah, biar Allah sahaja yang selesaikannya untuk saya. Saya tiada masa nak fikir pasal orang.
Apabila saya telah serahkan semuanya pada Allah, maka saya yakin Allah akan bantu. dada saya menjadi lapang dan tenang, seperti Allah itu sentiasa berada di sisi saya.
Maka pada pagi itu saya hanya teruskan kerja seperti biasa, apa saja masalah saya akan hadapinya dengan tenang. Sebab saya yakin Allah yang datangkan segala masalah dan Allah juga yang akan membantunya. Sesungguhnya Allah Maha mendengar segala permintaan hamba-hambaNya.
Apa saja masalah yang datang, lalui saja dengan tenang, sebab Allah sentiasa ada untuk membantu. Belajarlah yakin dan berserah kepadaNya”
Demikianlah pesanan Puan A kepada aku.
Masya Allah. Aku rasa seperti hidup semula mendengar percakapan itu. Sebenarnya itulah yang aku cari selama ini. Iaitu penyerahan kepada Allah. Aku belum cukup berserah diri kepadaNya..
Aku rasa semua perkara aku yang buat, semua masalah aku yang selesaikan.
Aku beristighfar memohon ampun kepada Allah. Tanpa aku sedar sebenarnya aku dah jauh daripadaNya.
Terima kasih banyak ya Allah atas petunjuk yang telah Engkau berikan
Sejak dari itu aku sentiasa belajar bertenang. Setiap ujian dan masalah yang datang aku berlapang dada, redha dan pasrah kepadaNya.
Aku hanyalah seorang hamba yang menjalani kehidupan dengan ujian yang telah disusun olehNya. Aku tak berhak membantah, tetapi aku harus belajar berlapang dada atas segala ketentuanNya. Kerana aku percaya Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang dan Dia Maha Bijaksana di atas segala yang bijaksana.
Aku sentiasa mencari hikmah atas setiap peristiwa, masalah atau ujian yang datang, sama ada yang menyenangkan atau yang tidak menyenangkan. Agar aku menjadi hamba yang sentiasa peka dengan petunjuknya dan sentiasa memperbaiki ke arah yang lebih baik.
Kerana setiap ujian itu untuk membina diri kita menjadi lebih baik, bukan untuk menghinakan.
Ujian akan sentiasa datang selagi kita hidup. Oleh itu jangan takut dengan ujian.
Ujian juga adalah makhluk yang didatangkan oleh Allah. Setiap ujian yang Allah datangkan adalah untuk sesuai dengan kemampuan kita.
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya” (Al Baqarah: 286)
Allah sentiasa inginkan kebaikan untuk kita, cuma kadangkala kita sahaja yang banyak bersangka buruk kepadaNya.
Sentiasalah berniat memperbaiki diri tanpa kesudahan, nescaya kita akan menjadi orang yang lebih baik dari hari ke hari.
“... sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang melakukan kebaikan” (Al Baqarah: 195)
>> List artikel blog: Formula hidup tenang, walau selalu dihimpit masalah! <<
====
Anda digalakkan untuk kongsi artikel ini dengan rakan-rakan dan famili. Ia akan menjadi ladang pahala buat anda. Selagi ilmu ini diamal oleh orang yang menerimanya dari anda, selagi itulah pahala terus mengalir ke akaun anda tanpa putus.
Terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog ini. Sebagai tanda penghargaan saya ingin berikan anda hadiah video senaman & urutan yang anda boleh aplikasikan di rumah. Mudah-mudahan bermanfaat.
Klik gambar di bawah untuk tuntut hadiah ini!


Terima kasih,menetes air mata,larena pesan itu sangat dalam sekali maknanya dan sepertinya atas sekarang yang tengah saya alami
BalasPadam