Bolehkah 'bahagia' datang sendiri? Adakah cara untuk menariknya?

 "Bahagia tak datang sendiri, tapi ia perlu di pupuk, tanam, siram, baja dan tuai hasilnya."


BAHAGIA TIDAK DITEMUI

Dulu aku ingat ‘bahagia’ boleh datang sendiri, lepas kahwin terus akan happy. Tapi jangkaan aku meleset, banyak perkara yang aku belajar lepas kahwin.

Masa bujang dulu aku tanam satu niat, iaitu tak nak bercinta sebelum nikah, sebab aku nak keberkatan dalam perkahwinan. Yelah, bercinta sekejap je, sedangkan bernikah itu lebih lama dan panjang masanya. Aku mengharapkan perkahwinan yang berkat dan penuh kebahagiaan.

Dipendekkan cerita aku berkahwin dengan seorang guru hasil rekemen abang aku yang juga seorang guru.

Lepas nikah aku rasa takde apa-apa perasaan pun. Takde perasaan happy dan bahagia yang aku inginkan selama ini. Beberapa waktu berlalu, tapi keadaan tetap sama.

Kenapa macam ni? Apa yang tak kena? Aku tertanya-tanya apakah yang menghalang aku untuk rasa tenang dan happy dalam perkahwinan? Sedangkan aku sangat menjaga pergaulan sebelum ini. Termenung aku memikirkannya.

Isteri aku adalah seorang yang sangat baik, menjaga solat, rajin membuat kerja rumah, pandai menjaga hati, pandai memasak dan macam-macam kebaikan yang ada dalam diri dia. Tapi kenapa perkahwinan aku hambar?

Persoalan terus bermain difikiran aku. Tapi hati kecil aku berkata, masalah adalah berpunca dari diri aku sendiri, bukan yang lain.


KESEDARAN UNTUK BERUBAH

Allah Maha Mengetahui dengan situasi aku. Setelah itu Allah telah datangkan beberapa peristiwa yang merungkaikan permasalahan ini, sehingga aku nampak dengan jelas puncanya, hingga ke akar umbi.

Pelbagai peristiwa yang Allah datangkan menjadi cerminan, untuk aku lebih kenal kekurangan diri. Allah buka dan tunjukkan satu per satu untuk aku ubah diri aku, sekaligus memperbaiki hidup aku yang sedang berada dalam kegelapan.

Aku adalah seorang yang mengharapkan kesempurnaan dalam kehidupan. Macam-macam target yang aku letak, sama ada dari segi perkembangan bisnes, kewangan, kelapangan masa dan pembebasan isteri aku dari pekerjaan (Sebab aku tak suka lihat isteri sibuk dan stress dengan kerjanya).

Hampir setiap hari aku fikirkan perkara tersebut, aku hanya fokus kepada ‘apa yang belum aku ada’, berbanding menghargai ‘apa yang telah aku ada’.

Sikap tersebut telah meletakkan aku ke alam yang tersendiri. Tanpa sedar aku telah mengalami depresi, sehingga aku telah ditegur oleh beberapa orang kawan yang menyedari perubahan diri aku.

Teguran demi teguran telah membuatkan aku semakin sedar dan mula bergerak melakukan perubahan.


AKU MULA BERUBAH

Aku telah ubah cara berfikir dan cara aku melihat kehidupan pada waktu itu.

Sebenarnya nikmat yang Allah beri terlalu banyak, tetapi aku seperti orang buta. Tak nampak setiap nikmat yang aku ada, tetapi sangat nampak dengan nikmat yang belum aku perolehi.

Aku teringat satu ayat,

"...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu..." (Al Baqarah: 216) Sumber

Aku teringat juga bahawa,

“Setiap ujian adalah untuk membina diri kita menjadi lebih baik, bukan ingin menjatuhkan..”

Dan aku juga ingat,

".... Barang siapa redha menerima ujian itu, Allah redha pula kepadanya. Dan barang siapa marah, maka Allah murka kepadanya.” (Hadith riwayat at Tarmizi) - Status Hassan

Aku muhasabah diri. Aku belajar redha dan berlapang dada dengan situasi yang Allah datangkan, sama ada aku suka atau tidak.

Jika sebelum ini aku banyak melihat kekurangan yang ada, tetapi setelah itu aku belajar wujudkan perasaan ‘menghargai’ setiap nikmat yang aku ada.

Bila aku lihat isteri, aku bayangkan kebaikannya dan aku sebut,

 ‘Alhamdulillah.. terima kasih ya Allah kerana berikan aku isteri. Dengannya aku terpelihara dari dosa zina’. Aku datangkan perasaan syukur dan gembira dengan kehadiran isteri dalam hidup aku.

Begitu juga dengan nikmat-nikmat yang lain seperti pekerja yang setia, bisnes yang beroperasi, rakan-rakan yang sentiasa bersama, ibu yang sering mendoakan, kenderaan yang memudahkan perjalanan dan lain-lain.

Aku cuba mewujudkan perasaan gembira dan menghargai setiap nikmat yang aku abaikan selama ini.

Selain itu aku juga turut perbaiki hubungan dengan orang-orang yang rapat dengan aku. Aku wujudkan rasa menghargai setiap kebaikan mereka. Terutama kepada ibu, isteri dan rakan-rakan karib yang sering ada ketika aku dalam kesusahan.

Aku jadi lebih peka dalam menjaga tutur kata, lebih menjaga hati dan berusaha memberi sedikit kegembiraan kepada mereka.

Itulah sifat baru yang aku tanam, ternyata sifat itu telah membawa banyak perubahan yang sangat besar dalam hidup aku.

aku seperti baru merasakan hidup, hati aku lebih tenang dan tenteram. Perubahan itu telah membuatkan dada aku sering terasa lapang dan aku lebih banyak tersenyum berbanding sebelum ini.

Walaupun sesekali ujian kesusahan menjengah, hati aku tak gundah gulana seperti dulu. Bahkan hati aku lebih tenang dan mudah terasa redha dengan ujian yang datang.


NASIHAT AKU

Aku sedar di luar sana sebenarnya ramai orang mempunyai masalah yang sama. Mereka tertanya-tanya kenapa hidup mereka tidak terasa bahagia?

Maka ini pesanan aku, ambillah nasihat ini dengan positif dan terbuka:

1) Jangan rasa diri sempurna, kerana perasaan itu akan menyekat diri kita untuk menjadi orang yang lebih baik.

2)  Sentiasa perbaiki diri. Perbaiki diri akan membuatkan perhubungan dengan orang sekeliling menjadi lebih baik dan memberi impak besar kepada kehidupan dan emosi.

3)  Banyakkan melihat kelebihan yang Allah beri berbanding melihat kekurangan diri. Sifat selalu melihat kekurangan diri menjadikan kita hamba yang tidak bersyukur. Siapa yang tidak bersyukur akan mendapat kehidupan yang sempit dan penuh kegelapan.


>> List artikel blog: Formula hidup tenang, walau selalu dihimpit masalah!  <<


====

Anda digalakkan untuk kongsi artikel ini dengan rakan-rakan dan famili. Ia akan menjadi ladang pahala buat anda. Selagi ilmu ini diamal oleh orang yang menerimanya dari anda, selagi itulah pahala terus mengalir ke akaun anda tanpa putus.

Terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog ini. Sebagai tanda penghargaan saya ingin berikan anda hadiah video senaman & urutan yang anda boleh aplikasikan di rumah. Mudah-mudahan bermanfaat. 

Klik gambar di bawah untuk tuntut hadiah ini!




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

2 sifat yang mampu mengubah kehidupan!

Impian yang membunuh ketenangan

Formula hidup tenang, walau selalu dihimpit masalah!