2 sifat yang mampu mengubah kehidupan!
TUJUAN BERNIAGA
Aku berniaga sebab aku nak capai dua perkara, pertama ialah kelapangan masa untuk beribadah dan kedua ialah kebebasan kewangan.
Dua perkara ini sangat susah untuk aku capai semasa aku makan gaji dulu, maka aku buat keputusan untuk menceburkan diri dalam perniagaan.
TUJUAN TAK KESAMPAIAN
Tapi satu perkara yang membuatkan aku serabut ialah lepas berniaga aku bukannya jadi semakin lapang, tapi jadi semakin sibuk.
Sebenarnya masa lapang tu ada, bahkan lebih lapang dari orang makan gaji. Tapi bila ada masa lapang aku sentiasa gunakan ia untuk berfikir tentang bisnes, sehingga ibadah aku bukannya bertambah, bahkan jadi semakin kurang (Ibadah sunat).
Berfikir juga adalah satu jenis kerja. Kalau aku dah sibuk berfikir tentang sesuatu, memang tak boleh nak buat kerja lain.
Walaupun tubuh nampak sedang berehat, tapi otak tak berhenti berfikir, serupa je macam orang tak berehat. Secara tak langsung stress aku pun semakin meningkat.
Biasanya orang bisnes mudah faham apa yang aku maksudkan ini.
TERSEDAR DARI TIDUR
Sampailah suatu waktu Allah berikan petunjuk yang membuatkan aku tersedar. Aku mula perbaiki diri dan semakin mendekat kepadaNya.
Pelbagai peristiwa yang Allah datangkan telah membentuk diri aku menjadi orang yang banyak bersabar dan banyak bertawakkal. Walaupun perkataan sabar dan tawakkal sering bermain dimulut aku dulu, tapi perlaksanaannya hampir tiada. Hanya bercakap di mulut, tapi tiada pada amalan.
KUATKAN DIRI
Aku belajar menjadi lebih kuat dan istiqomah untuk beramal dengan sifat sabar dan tawakkal. Jujur, ia sangat susah. Susah untuk aku mengubah kebiasaan lama kepada satu kebiasaan baru.
Melalui sifat sabar aku belajar untuk redha. Sifat sabar ini mudah diucap dan diceramahi, tapi tak mudah untuk diamal walau oleh seorang pakar motivasi atau pak imam masjid sekalipun.
Melalui tawakkal pula aku belajar penyerahan diri kepada Allah. Aku belajar lapangkan fikiran, lapangkan dada dan sentiasa bersangka baik kepadaNya pada setiap masa.
Apa saja result atas setiap usaha aku, sama ada untung atau rugi, berita baik atau sedih, semua aku pasrah. Sebab aku harus percaya apa yang Allah tentukan, pasti lebih baik daripada apa yang aku inginkan.
Walaupun aku rasa berat untuk tetap istiqomah, tapi aku harus berubah untuk dapatkan hidup yang lebih baik.
Gabungan kedua-dua sifat itu membuatkan hati aku menjadi tenang, fikiran jadi lapang dan hubungan dengan keluarga juga menjadi lebih mesra.
Kerja-kerja aku menjadi lebih teratur. Aku dah tak kelam-kabut seperti dulu, tapi uniknya perniagaan aku tetap berjalan seperti biasa, bahkan rasanya ia berjalan dengan lebih baik lagi berbanding sebelum ini.
KELAPANGAN MASA UNTUK BERIBADAH
Yang lebih menarik ialah aku rasa masa untuk beribadah jadi semakin lapang dan mudah, tak sesukar dulu.
Aku rasa gembira dengan setiap perubahan yang Allah bagi. Aku cari perubahan ini dengan pelbagai cara, belajar di bermacam-macam tempat. Tapi rupanya Allah berikan perubahan yang ketara dalam hidup aku hanya dengan mengubah sifat di dalam diri.
Keyakinan aku menjadi lebih kuat apabila aku terjumpa satu ayat Al Quran yang sangat related dengan peristiwa yang berlaku ini. Iaitu Surah Al Ankabut, ayat 58 & 59.
Maksudnya:
“Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang saleh, Sesungguhnya akan Kami tempatkan mereka pada tempat-tempat yang Tinggi di dalam syurga, yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, mereka kekal di dalamnya.
Itulah Sebaik-baik pembalasan bagi orang-orang yang beramal, (yaitu) yang bersabar dan bertawakkal kepada Tuhannya.”
(QS. Al-Ankabut : 58-59)
Perhatikan ayat terakhir di atas (Al Ankabut: 59),
“..bagi orang-orang yang beramal, (Iaitu) yang bersabar dan bertawakkal kepada Tuhannya.”
Dalam ayat ini dinyatakan ciri-ciri orang-orang yang beramal, iaitu orang-orang yang mempunyai sifat sabar dan tawakkal.
Atau dengan kata lain, siapa yang mempunyai sifat sabar dan tawakkal, maka sifat itu akan menjadi pemudahcara untuk dia kuat dalam melakukan amal ibadah.
Jika makanan menjadi asbab tubuh kita kuat untuk bekerja, maka sifat sabar dan tawakkal pula menjadi asbab terbuka jalan untuk kita beribadah dengan lebih baik lagi.
PERSOALAN YANG TERUNGKAI
Kini barulah aku faham, dulu aku terasa berat mencari masa untuk beribadah bukanlah kerana tiada masa. Tetapi kerana kurangnya sifat sabar dan tawakkal.
Kurang sabar akan menjadikan diri kita lemah dari dalam. Iaitu lemah jiwa dan pengurusan emosi. Kita akan jadi mudah marah dan tak dapat membuat keputusan secara rasional.
Apabila kurang tawakkal pula, kita jadi tak tentu arah. Masa yang sepatutnya diguna untuk berehat, ibadah dan bersama keluarga tidak digunakan dengan sebaiknya, bahkan semua itu digunakan untuk perniagaan. Seolah-olah kitalah yang menguruskan rezeki. 24 jam hanya fikir pasal kerja.
Alhamdulillah. Terima kasih banyak ya Allah atas petunjukMu. Istiqomahkanlah aku dalam kebaikan ini, tanpa bantuanMu tidak ada apa yang mampu aku lakukan.
KESIMPULAN
Apabila anda terasa berat untuk melakukan amal ibadah, maka usahakanlah sifat sabar dan tawakkal. Allah telah beritahu dalam Al Quran, bahawa mereka yang mempunyai sifat sabar & tawakkal adalah ciri-ciri ahli syurga yang baik dalam amalannya.
>> List artikel blog: Formula hidup tenang, walau selalu dihimpit masalah! <<
====
Anda digalakkan untuk kongsi artikel ini dengan rakan-rakan dan famili. Ia akan menjadi ladang pahala buat anda. Selagi ilmu ini diamal oleh orang yang menerimanya dari anda, selagi itulah pahala terus mengalir ke akaun anda tanpa putus.
Terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog ini. Sebagai tanda penghargaan saya ingin berikan anda hadiah video senaman & urutan yang anda boleh aplikasikan di rumah. Mudah-mudahan bermanfaat.
Klik gambar di bawah untuk tuntut hadiah ini!





Alhamdulillah...begitu lah perkara yg saya alami
BalasPadam