Ramai orang tak bertemu 'BAHAGIA' kerana salah faham tentang ini
Manusia mencari BAHAGIA dengan pelbagai cara. Ramai yang anggap kebahagiaan akan tiba apabila mereka memiliki:
1) Harta yang banyak.
- Kerana dengan harta banyak benda dapat dibeli, pelbagai makanan dapat dirasa, banyak keinginan nafsu dapat ditunaikan.
2) Kuasa yang besar.
- Kerana dengan kuasa kita mendapat kemuliaan, orang akan hormat dan menjadi takut kepada kita. Mudah untuk dapat apa yang kita mahu.
3) Wanita/ Pasangan yang cantik.
- Kerana dengan pasangan kita ada tempat mengadu dan meluahkan suka dan duka. Dalam keadaan susah dan senang sentiasa ada pasangan yang bersama kita.
4) Kediaman yang mewah.
- Kediaman yang besar dan luas akan memberikan keselesaan. Setiap hari hati akan terasa nyaman dan tenteram kerana menghuni di rumah yang selesa.
5) Selalu melancong.
- Seronok bila boleh lihat negara orang, banyak pemandangan baru yang akan membuat hati sentiasa teruja.
6) Anak-anak yang ramai.
- Seronok bila ada anak-anak, membuatkan rumah sentiasa ceria dan famili menjadi meriah.
Mungkin anda beranggapan BAHAGIA pasti akan datang jika anda memiliki kesemua perkara di atas, tetapi benarkah begitu?
Tahukah anda ramai orang yang telah mencapai kesemua perkara di atas, tetapi hidup mereka tidak bahagia? Mereka hidup dalam kesempitan. Tiada kegembiraan meskipun sentiasa mengukir senyuman, bahkan ada dikalangan mereka yang telah mati bunuh diri.
Ini adalah kisah jutawan yang telah mati akibat bunuh diri :
Jika anda search ada akan jumpa lebih banyak lagi kisah-kisah yang tragis.
Mereka hanya 'nampak cantik' di luar, tetapi kosong di dalam.
Umpama sebuah patung yang amat cantik dipandang. Patung itu dipakaikan baju yang mewah dan make up yang sangat berseni, sehingga orang sekeliling terkagum-kagum dan sering memuji keindahannya.
Tetapi orang tidak tahu bahawa patung itu sedang menangis kesedihan mencari 'nyawa'. Patung itu sedang mencari sebuah nyawa yang dapat memberikan 'kehidupan' kepadanya.
Walau nampak hidup, tetapi dirinya mati. Walau nampak indah tetapi dirinya kosong. Walau sering dipuji, namun pujian itu tidak dapat memenuhkan jiwanya.
Kawan-kawan..
Saya tidak bermaksud untuk mengatakan 6 perkara di atas adalah salah untuk dicapai. Saya juga tidak mengatakan 6 perkara di atas tidak perlu untuk di cari. Jika anda membuat kesimpulan seperti itu, maka ia adalah suatu salah faham yang perlu diperbetulkan.
Sejujurnya saya juga suka travel dan saya juga suka mempunyai harta yang banyak untuk pelbagai tujuan. Cuma suatu perkara yang saya ingin tekankan ialah 6 perkara di atas bukanlah faktor utama untuk anda mencapai kebahagiaan, kerana kebahagiaan itu datangnya dari HATI YANG BERSIH.
Hati hanya akan menjadi bersih apabila ia diusahakan. Tanah yang diusahakan akan menjadi subur. Apabila disiram air ia akan meresap dengan baik. Apabila ditanam benih ia mudah bertumbuh. Sekalipun dilontar najis, tanah akan menukarkannya kepada baja yang dapat menyuburkan tanaman sehingga dapat menghasilkan buah-buahan. Situasi ini akan memberikan rasa nyaman kepada sesiapa sahaja yang mendekatinya.
Manakala hati akan menjadi kotor apabila ia dibiarkan. Tanah yang dibiarkan akan menghasilkan semak-samun. Semak yang dibiarkan akan menjadi belukar. Belukar yang dibiarkan akan berubah menjadi hutan belantara. Hutan belantara akan menarik banyak binatang buas dan binatang berbisa untuk berkumpul di dalamnya. Situasi ini akan membahayakan sesiapa sahaja yang mendekatinya.
Hati yang kotor akan terasa berat untuk melakukan banyak amalan baik, seperti berzikir, membaca Al Quran dan bersolat. Tetapi terasa sangat manis melakukan dosa dan maksiat.
Manakala hati yang bersih akan terasa ringan untuk berzikir. Hati yang selalu berzikir akan melahirkan ketenangan yang berpanjangan.
Sepertimana firman Allah,
.. ingatlah, dengan mengingati (zikir) Allah hati menjadi tenang. (Surah Ar Ra'd: 28)
Allah telah memberikan jaminan bahawa hati pasti akan menjadi tenang apabila kita berzikir mengingatiNya.
Solat adalah zikir, membaca Al Quran adalah zikir, istighfar adalah zikir dan membaca kalimat-kalimat tasbih juga adalah zikir.
Dalam kesibukan harian kita, peruntukkanlah sebahagian masa untuk berzikir mengingati Allah.
Berzikir tidak mudah untuk orang yang baru ingin memulakannya. Tetapi percayalah, ia adalah satu proses untuk Allah membersihkan hati kita. Berusahalah seperti mana anda berusaha mencari makanan ketika anda lapar.
Jika kita tidak bermula hari ini, bila lagi? Allah tidak akan mengubah diri anda selagi anda tidak berusaha untuk mengubahnya.
Jika anda belum bermula, maka bermulalah hari ini:
- Jaga solat fardhu, jika sudah biasa tambah sedikit solat sunat. Belajar memberi tumpuan dalam solat.
- Konsisten membaca Al Quran, jika tak mampu satu muka surat, mulakan dengan setengah muka dahulu.
- Konsisten berzikir. Anda boleh mulakan dengan menjaga zikir selepas solat.Setiap selesai solat bacalah Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali, Allahuakbar 33 kali.
Dalam melakukan sesuatu amalan apa yang paling penting ialah konsisten. Bukannya anda buat banyak sekaligus kemudian tinggal untuk selamanya. Konsisten dalam tempoh yang lama akan memberikan kesan kepada hati.
Semakin bersih hati anda, lebih banyak ketenangan yang akan datang.
>> List artikel blog: Formula hidup tenang, walau selalu dihimpit masalah! <<
====
Anda digalakkan untuk kongsi artikel ini dengan rakan-rakan dan famili. Ia akan menjadi ladang pahala buat anda. Selagi ilmu ini diamal oleh orang yang menerimanya dari anda, selagi itulah pahala terus mengalir ke akaun anda tanpa putus.
Terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog ini. Sebagai tanda penghargaan saya ingin berikan anda hadiah video senaman & urutan yang anda boleh aplikasikan di rumah. Mudah-mudahan bermanfaat.
Klik gambar di bawah untuk tuntut hadiah ini!

Ulasan
Catat Ulasan